Perkhidmatan

Selain menyediakan keperluan asrama bagi anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan perlindungan di sini, Rumah Amal Budi Bistari juga menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan berikut:

  • Memberi pelajaran dan pendidikan secukupnya untuk anak-anak bagi mempersiapkan masa depan agar beroleh kejayaan di dunia dan keselamatan di akhirat.
  • Menyalurkan segala sumbangan yang diterima bukan sekadar untuk anak-anak yang menghuni di rumah amal ini sahaja tetapi turut juga diberikan kepada anak-anak yatim dan golongan asnaf yang lain yang tinggal bersama keluarga mereka.
  • Membuka kelas pengajian Al-Quran dan fardhu ain untuk anak-anak masyarakat
Anak-anak yang menghuni di rumah amal ini dilatih hidup berdikari dan mempraktikkan adab sopan yang mulia sebagai pakaian diri. Kebersihan asrama dan kekemasannya dilakukan secara bersama, berkumpulan dan bergilir-gilir.
Selain penekanan kepada asas-asas fardhu ain sebagai pedoman hidup, pendidikan insan atau rohaniah merupakan pendidikan utama yang sangat ditekankan kepada anak-anak yang menghuni di sini. Setiap masa mereka dididik supaya mengenali Tuhan hingga timbul rasa cinta, sayang dan takut kepadaNya agar mereka memiliki jiwa besar dan kuat untuk mengharungi hidup ini. Mereka didisiplinkan dengan sembahyang jemaah setiap waktu, mengaji Quran, tahlil dan bertahajjud (qiyamullail) setiap hari.
Anak-anak yang menghuni asrama ini juga sentiasa mendapat bimbingan untuk memahami pelajaran yang dipelajari di sekolah. Mereka dibantu dalam menyelesaikan kerja-kerja sekolah oleh guru berpengalaman yang secara sukarela untuk membantu mereka terutama di hujung minggu dan waktu cuti persekolahan.

Selain aktiviti pengajian dan pembelajaran, anak-anak juga didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan kemahiran yang sesuai dengan peringkat umur mereka supaya mereka tahu hidup berdikari setelah mereka keluar dari rumah amal ini. Aktiviti-aktiviti dan pendedahan sebegini selain menyuburkan minda dan fizikal anak-anak, ia juga sangat membantu dalam pembinaan jiwa dan syaksiah anak-anak. Antara aktiviti-aktiviti tersebut ialah seperti:

  • Aktiviti kebudayaan
  • Aktiviti ekonomi (berniaga kecil-kecilan)
  • Aktiviti dengan masyarakat